Bantahan.

[18-6 20:01] ~ Jeeb Lee✍ ~
[UPDATE]
P.PINANG-Pekerja kilang adakan bantahan selepas digelar sampah

June 18, 2019 Editor Isu Viral

Polis Pulau Pinang menerima tiga laporan berhubung bantahan oleh kira-kira 200 pekerja di sebuah kilang solar di Perai hari ini yang berang digelar ‘sampah’ yang didakwa dikeluarkan oleh seorang pengurus kilang berkenaan.

Ketika dihubungi, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, bantahan itu berlaku kira-kira jam 8.30 pagi apabila pekerja kilang Jinko Solar mendakwa diri mereka telah dihina.

“Apabila polis tiba di kilang itu, terdapat kira-kira 300 orang yang sedang berhimpun, di luar kilang itu.

“Kami cuba menenangkan keadaan, pekerja meminta pengurus kilang ini membuat permohonan maaf secara terbuka sehingga lelaki berusia 39 tahun itu bersetuju berbuat demikian.

“Pengurus itu telah keluar bagi bertemu wakil pekerja kilang ini kira-kira pukul 9.30 pagi dan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada mereka,” katanya.

Menurut Nik Ros Azhan, bantahan itu dipercayai berpunca daripada tangkap layar perbualan WhatApss pengurus berkenaan yang tular di dalam laman sosial Facebook.

“Menerusi tangkap layar itu, seorang lelaki yang didakwa sebagai pengurus kilang berkenaan telah menggelar pekerja kilang ini sebagai ‘sampah’,” katanya.

Menurutnya, selain permohonan maaf, pekerja kilang juga telah bertemu dengan pihak pengurusan kilang dan menuntut semakan semula gaji dan elaun serta waktu bekerja yang fleksibel.

“Pada jam 10.30 pagi, semua pihak yang terlibat telah bersurai dan mencapai kata sepakat,” katanya sambil menambah pekerja yang masih tidak berpuas hati dinasihatkan untuk membuat laporan polis.

Kejadian itu tidak menyebabkan sebarang kerosakan dan kecederaan.

isuviralkongsiinfo✍